Sabtu, 18 April 2020

Kisah Misteri - Pakcik Berjubah Putih

Wawan Setiawan Tirta


- Nama saya A. Saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya dan ibu saya ketika saya menunggu ibu saya pulang dari kelas agama. Saya menunggu ibu saya di perhentian bas yang berdekatan dengan blok rumah saya. Ketika itu hari Khamis malam Jumaat, jam hampir 11 lebih malam. Untuk pengetahuan anda, setiap hari Khamis malam Jumaat, ibu saya akan pergi ke kelas bacaan Yassin. Saya akan menjemput ibu saya dari perhentian bas.

Sewaktu kami sampai di kolong blok kami, saya dan ibu saya ternampak ada kain putih terkibai-kibai dari jauh. Ketika kami berhampiran dengan lif, kami ternampak seorang pakcik memakai baju jubah putih bersama songkok putih yang berdiri bertentangan untuk menuju ke lif bersama-sama kami. Setibanya di lif, pakcik itu bertanyakan kepada ibu saya, "Boleh tumpang tanya? Di sini ada orang meninggal tak?" Ibu saya pun bertanya, "Tingkat berapa? Siapa namanya?" Kemudian pakcik itu beritahu, "Di tingkat 4, namanya Rahman dan yang meninggal itu adalah anak lelakinya yang meninggal di penjara, dibawa balik ke rumah anak perempuan pakcik itu."

Ibu saya pun bertanya, "Pakcik ni datang seorang saja ke?" Pakcik itu pun berkata, "Tak, saya datang ramai, tapi yang lain semua ada tunggu di belakang sana..." Bila saya pusing ke arah yang pakcik itu tunjukkan, saya melihat tiada sesiapa pun di situ. Sunyi sepi. Saya pun melihat muka ibu saya seolah-olah memberi isyarat.

Pintu lif pun terbuka. Saya dan ibu saya pun memasuki ke dalam lif. Pakcik itu pun mengikut sama. Saya picit butang tingkat 6 tetapi pakcik itu tak picit apa2. Dia diam saja. Setibanya di tingkat 6, saya dan ibu saya keluar dan pakcik itu pun mengikut kami keluar sekali. Saya menjadi musykil dan seram. Muka pakcik itu putih dan bersih sangat. Saya dan ibu saya pun melihat di sekeliling blok kami dan melihat semua tingkap gelap dan pintu semuanya tertutup. Dia beritahu, "Kalau awak tahu ada orang meninggal di blok ni, awak telefonlah saya..." Kemudian dia memberi nombor telefon, ibu saya sengaja mengeluarkan buku kitab Yassin dan menulis nombor itu di belakang buku kitab itu.

Sejurus pakcik itu memasuki lif untuk turun ke bawah, kami pun menjenguk ke bawah dari atas. Kami tak nampak pun pakcik itu keluar dari lif kolong blok kami. Tak tahulah, samaada pakcik itu betul manusia atau sebaliknya. Tetapi nombor pakcik itu masih ada di dalam buku kitab Yassin Ibu. Keesokan harinya, kami tak nampak sesiapa pun yang meninggal di blok kami. Ibu saya tak berani nak menelefon nombor itu. Itu sajalah pengalaman saya dan ibu saya. Terima kasih kerana mengenengahkan e-mel saya.

Yang benar,